Festival Sukan NGO

BANGI, 30 September 2024 – Festival Sukan NGO Kukuhkan Solidariti Kemanusiaan dan Promosi Gaya Hidup Sihat.

Festival Sukan NGO yang berjaya dianjurkan di Dewan ILSAS Uniten, Bangi pada 30 September 2024, telah mengumpulkan sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gabungan MyAqsa Defenders, bersama-sama penaja utama seperti Cinta Gaza Malaysia, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Cinta Syria Malaysia, Global Peace Mission Malaysia, Banat Sandwich, Nadwa Publication Sdn Bhd, Jantzen, Inteam Marketing dan MrTupperman Ventures. Festival ini bukan sahaja sebagai medan pertandingan sukan, tetapi juga sebagai platform untuk memperkukuh solidariti kemanusiaan serta meningkatkan kesedaran awam terhadap usaha murni NGO-NGO ini.

Festival ini turut menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma melalui inisiatif Mobile Clinic yang dibawakan oleh MAPIM. Sambutan terhadap perkhidmatan ini sangat memberangsangkan, di mana ramai peserta dan staff di sekitar Uniten turut mengambil kesempatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Inisiatif ini bukan sahaja mendorong gaya hidup sihat dalam kalangan peserta, tetapi juga menunjukkan keprihatinan pihak penganjur terhadap aspek kesihatan komuniti.

Dalam cara yang dipertandingkan, pasukan lelaki dari MADAD muncul sebagai juara selepas berjaya menewaskan Cinta Gaza Malaysia dengan aksi yang penuh strategi dan kerjasama berpasukan. Dalam kategori wanita pula, pasukan Cakna Palestin mengungguli perlawanan dengan menumpaskan Cinta Syria Malaysia dalam satu pertarungan yang sengit. Setiap pasukan menunjukkan semangat kesukanan dan dedikasi yang tinggi, memperlihatkan kepentingan persediaan fizikal dan mental dalam kejayaan mereka.

Menurut Tuan Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, Ketua Eksekutif Cinta Gaza Malaysia merangkap Pengerusi Ahli Majlis Tertinggi MyAqsa Defenders, program ini bertujuan untuk lebih daripada sekadar pertandingan sukan. “Dengan penglibatan pelbagai NGO dan penaja, festival ini bertindak sebagai satu platform yang mengeratkan hubungan serta memperkuatkan semangat kebersamaan dalam usaha kemanusiaan,” katanya. Beliau turut menekankan bahawa kejayaan festival ini menjadi bukti kukuh betapa pentingnya kolaborasi antara NGO dalam mencapai matlamat kemanusiaan bersama.

Festival ini bukan sahaja memupuk semangat kesukanan, tetapi juga membawa kesan yang signifikan terhadap kerjasama NGO-NGO yang terlibat. Acara seperti ini menggalakkan perbincangan, perkongsian sumber, dan pelaksanaan strategi bersama yang mampu memberi impak yang lebih besar kepada komuniti yang mereka bantu. Dengan lebih daripada 100 peserta terdiri daripada wakil NGO, sukarelawan, dan penyokong, festival ini membuktikan bahawa perpaduan dalam misi kemanusiaan adalah kunci utama untuk mencapai kejayaan yang lebih bermakna.

Pihak penganjur berharap agar festival ini menjadi acara tahunan yang terus mendapat sokongan meluas daripada NGO dan penaja, serta mampu memperluas impaknya dalam memperjuangkan kesedaran kemanusiaan di Malaysia.

Featured Project

Categories

Tags

Scroll to Top